Friday, September 2, 2011

Sebenarnya.....

Assalamalaikum wbt.

Dulu aku punya cita-cita mahu menjadi seorang doktor. Alat-alat permainanku semuanya berasaskan perubatan. Selalu main doktor-doktor. Kucing akulah yang jadi pesakitnya. Habis semua luka di badan kucing aku letakkan ubat.

Masuk tingkatan empat aku bersyukur sangat bila layak untuk masuk kelas aliran sains walaupun di sekolah menengah kebangsaan saja. Aku semakin menghampiri kerjaya impianku. Tapi semua itu tak lama. Abah  memohon tiga buah sekolah untukku. Dua dari sekolah yang dipohon punyai bahasa Arab dan sains tulen. Manakala satu darinya hanya punyai bahasa Arab sahaja. Aku berharap sangat dapat sekolah yang ada sains tulen dan bahasa Arab sebab aku mahu menjadi seorang doktor dan dalam masa yang sama berkebolehan berbahasa Arab. Namun, Allah dah susunkan yang lain untuk aku. Aku dapat sekolah yang hanya punyai bahasa Arab ditambah dengan 10 subjek STAM. Ini bermakna dalam seminggu aku akan belajar 21 subjek dalam seminggu. Paling mengejutkan aku, sekolah itu tidak mempunyai makmal pun dan guru-guru pun bukannya selalu masuk kelas.

Aku memang banyak kali memberontak. Empat bulan aku cuba menyesuaikan diri. Aku tekad untuk belajar hingga ke tingkatan lima saja di sekolah itu. Akhirnya aku tukar cita-cita menjadi serang jururawat. Aku tak kisah asalkan kerja di hospital. Seperti yang aku rancang, lepas habis je SPM aku isi borang upu. Aku mohon empat universiti dalam kos kejururawatan dan satu kos penternakan sebab aku sangat sayangkan haiwan. Pilihan  aku yang pertama ialah UDM, Terengganu. Aku pilih UDM sebab agak jauh dari keluarga. Dalam masa yang sama pula Abah mohonkan untukku universiti di luar negara dalam kos pengajian Islam di bawah tajaan MAINS.

" Abah, kalau UDM sampai dulu, akak tak pergi Morocco "

Itulah kata-kata yang kuungkapkan sebab aku yakin sangat yang aku akan dapat UDM. Muka Abah masa tu memang sedih sangat. Aku pula jenis keras kepala ikutkan perasaan sendiri saja tanpa mengambil tahu perasaan Abah yang berusaha keras untuk melaksanakan hasrat arwah atuk yang mahukan aku melanjutkan pelajaran di tanah Arab.

Masa yang ditunggu-tunggu dah pun tiba. Kebetulan hari itu aku baca surat khabar sambil berbual-bual dengan mak tentang cita-citaku. Tiba-tiba aku terbaca tajuk pelajar yang mengambil SPM tahun lepas boleh menyemak nama mereka sama ada mereka layak untuk masuk universiti yang dimohon melalui online. Dengan pantas aku mengambil telefon bimbit dan lakukan seperti yang diarahkan. Tiba-tiba....

" Nur Shaliza binti Shafie NE 049....( angka giliran..tak ingat ), anda tidak layak memasuki mana-mana IPTA....."

Lebih kurang gitulah mesej yang diterima. Terkedu sangat. Masa tu sangat kecil hati dengan Malaysia. Masa itu aku dah berhenti sekolah dan sedang menguruskan urusan untuk sambung pelajaran di Morocco. Cita-cita aku dah musnah. Aku tak punya lagi cita-cita. Masa dalam kursus persediaan, sahabat-sahabat dengan bangganya menyatakan cita-cita mereka. Tapi aku, aku hanya katakan yang aku tak punya cita-cita.

Hatta hari ini aku masih tak dapat cita-cita yang baru. Apa yang dalam fikiran aku sekarang, aku nak bina sebuah rumah atau klinik kucing-kucing yang terbuang. Pelikkan? Sekarang ini aku sedang berada di rumah yang semua penghuninya mengambil kos perubatan. Semalam aku kongsikan kisah aku pada mereka. Banyak cadangan yang mereka kongsikan.

Jadi sekarang ini, aku mesti habiskan saki baki perjalanan hidup aku di Morocco dengan segera. Aku mesti kuat bagi mencapai cita-cita. Aku yakin susunan Allah Maha Hebat. Hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untukku. Moga aku terus kuat !


p/s : Aku menanti hari untuk masuk bilik bersalin. Aku temankan seorang pelajar medic tahun 5 study di labour room. Berdebar tapi teruja untuk melihat kekuasaan Allah. Allah yusahhil insyaAllah...





No comments:

Post a Comment