Friday, July 29, 2011

Tersentak

Assalamualaikum wbt.

(( Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? )) - Surah ar-Rahman :13


Pagi di universiti. Sampai di depan pejabat, ada seorang pemuda yang sedang duduk di hadapan pejabat itu lalu berlakulah perbualan antara kami.

Aku : Maafkan aku, boleh aku tanya sesuatu? Di mana pejabat ketua kuliah pengajian Islam?

Pemuda : Allahu a'lam ( Allah saja yang lebih tahu ). Cuba kau tanya orang di dalam.

Aku terperasan sesuatu. Dia tak memandang ke wajahku tatkala menjawab persoalanku. Matanya hanya memandang ke bawah seolah-olah memandang ke arah kasutku.

______________________

Masa itu aku sempat terfikir mengapa pemuda ini tidak memandang ke arah wajahku dan telinganya seakan-akan mencari dari arah mana suaraku. Baru aku tahu pemuda ini seorang buta. Aku tersentak apabila dia menjawab " Allahu a'lam " atas pertanyaanku. Hati aku terus sebak. Mataku berkaca-kaca menahan air mata dari terus mengalir. Aku tak sangka bahawa aku akan menanyakan arah daripada seorang buta. Sungguh aku tak sengaja.

Selepas aku ucapkan terima kasih kepadanya, aku berlalu dan hatiku bermonolog sendirian. Alangkah besarnya nikmat mata yang Allah berikan. Tapi sejauh manakah aku bersyukur dengan nikmat itu? Sejauh manakah aku menjaga mataku dari melihat perkara-perkara yang tak sepatutnya dilihat? Berapakah helaian al-quran yang dapat kubaca melalui nikmat mata yang tak ternilai harganya ini. Sudah puaskah mata ini untuk menatap insan-insan yang tersayang? Sudah puaskah mata ini untuk melihat kebesaran dan keindahan alam yang dicipta-Nya? Dan sudah bersediakah aku seandainya nikmat ini ditarik serta-merta dari diri ini?

Ya Allah, terlalu banyak nikmat yang Kau berikan tetapi terlalu sedikit pula aku bersyukur....



p/s: Aku jadi rabun pun atas kelalaian aku untuk menjaga nikmat dan pinjaman yang agung dari Tuhanku. Semoga Allah memberiku petunjuk. Ameenn..

No comments:

Post a Comment