Tuesday, July 26, 2011

Seminggu sudahpun berlalu...

Assalamualaikum wbt.

Cukup seminggu satu hari aku berada di Mesir. Tempoh seminggu itu aku masih belum berubah menjadi muslimah sejati lagi. Siapalah aku untuk dibandingkan dengan mereka yang jauh lebih cemerlang dari aku terutamanya dari segi tarbiyah dan dakwah. Hatta mahasiswa yang baru berusia 17 tahun pun lebih matang dari aku. Subhanallah, mereka memang mantap. Tak hairanlah rata-rata sahabat-sahabat aku di sini mengambil keputusan untuk berkahwin awal sesama mereka. Ada seorang sahabat aku di sini berusia 19 tahun yang akan berkahwin bulan 9 ni. Pemerhatian aku mereka sangat matang, dan masing-masing menjadikan perkahwinan suatu medan untuk mengaplikasikan tarbiyah dan dakwah mereka. Kagum aku pada mereka.

Dalam rumah aku sendiri, mereka sangat berlapang dada antara satu sama lain. Saling tolong-menolong meringankan beban ahli bait. Sangat menitikberatkan solat jemaah, bersemangat dengan usrah walaupun setiap hari. Paling aku suka sekali melihat mereka saling ziarah-menziarahi sesama mereka walaupun rumah jauh-jauh. Tambah lagi cuaca Mesir yang sangat panas ni. Diorang ni tak penat ke ziarah-ziarah rumah orang ke hulu ke hilir. Berbeza sangat dengan aku kat Morocco, tak suka keluar rumah, kurang suka juga datang rumah orang. Sejak aku datang sini aku selalu cepat penat sebab banyak berjalan ziarah-ziarah akhowat kat sini. Lama-kelamaan, sejak aku duduk sini, barulah aku nampak kemanisan bila bersama. Komuniti mereka di sini sangat ramai, tetapi mereka bersatu hati. Banyak program di sini tapi itu bukan alasan untuk mereka bermalas-malasan untuk ziarah-menziarahi satu sama lain. Bahkan mereka tak mengenal erti penat dan jemu dalam berukhuwah.

Berbeza dengan keadaan aku. Aku masih lagi terkedek-kedek untuk menjinakkan diri dalam tarbiyah. Langkah aku masih lagi perlahan. Banyak perkara yang aku perlu pelajari di sini. Alhamdulillah segalanya dah terbentang di depan mata. Kini, terpulang kepada hati sama ada untuk menerima atau tidak pelajaran dari mereka. Apa yang aku pasti, aku masih lagi berusaha untuk berubah ke arah lebih baik. Syukur kini aku punyai ramai sahabat-sahabat yang mendokong dan memberi aku semangat untuk meneruskan langkahan dalam tarbiyah ini. No matter what, susah macam mana sekalipun terus berusaha. Nak jadi budak baik bukannya senang ok. Banyak ujian yang Allah akan beri.

(( Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan berkata : "kami telah beriman ; sedang kamu tidak diuji lagi....)) - Surah al-Ankabut : 2

 Jatuh banyak kali itu bukan permasalahannya, tapi apa yang penting bagaimana usaha kita selepas jatuh tu. Jadi, ceria-ceriakan hari dengan mengejar kebaikan, semangatkan diri untuk berubah, senyum selalu supaya lebih ramai sahabat yang akan dekati kita. Chaiyok Shaliza ~~~~ (^^,)v

_______________________________


p/s : Ramadhan hanya lebih kurang 4 hari. Moga diberikan nikmat umur untuk menikmati Ramadhan di bumi anbiya'. Tak sabar nak jalan malam-malam solat tarawih dan iktikaf di masjid.

p/s 2 : Rindukan ahli rumah Fbi dan sahabat-sahabat di bumi Maghribi. Semoga Allah merahmati mereka di sana..(^^,)

No comments:

Post a Comment